Peperangan di Gaza yang menjangkau tempoh sebulan akhirnya
berhenti buat sementara tepat jam 8.00 pagi waktu Gaza semalam (5 Ogos) setelah
gencatan senjata 72 jam dipersetujui oleh Hamas dan Israel. Namun mengenali
sifat khianat dan mungkir janji pihak Yahudi Zionis, tiada siapa berani memberi
jaminan gencatan senjata ini mampu bertahan selama tempoh tersebut.
Menilai dari pelbagai sudut, hanya satu pihak yang layak
diisytiharkan sebagai pemenang peperangan yang dinamakan Hamas sebagai Perang
Al-Asful Ma’kul (dedaun hancur berkecai yang dimakan ulat), dan pemenang
tersebut tentunya bukan rejim Zionis Israel. Gencatan senjata yang dimeterai
tidak lain sekadar jalan keluar terakhir Israel untuk berundur dari medan
bertempuran dan menyelamatkan maruahnya yang semakin tercalar.
Berikut dinyatakan sekurang-kurangnya lapan sebab kenapa
Palestin secara umumnya dan Hamas secara khususnya layak untuk dinobatkan
sebagai pemenang Perang Al-Asful Ma’kul ini:
Pertama, Israel
terpaksa menerima sekurang-kurangnya tiga syarat yang dituntut oleh Hamas
sebelum Hamas sedia menerima gencatan senjata. Penerimaan Israel terhadap
tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Hamas ini jelas membuktikan bahawa
mereka berada di pihak yang kalah.
Ismail Ridwan, salah seorang pegawai tertinggi Hamas seperti
dilaporkan oleh media Gaza mengatakan bahawa Hamas telah mengajukan tiga syarat
untuk mereka menerima gencatan senjata 72 jam. Syarat-syarat tersebut ialah
tentera Israel perlu berundur secara total dari wilayah-wilayah yang diduduki
mereka di sempadan Gaza, operasi jet-jet pejuang Israel di ruang udara Gaza
dihentikan dan pintu sempadan Gaza dibuka untuk menyalurkan bantuan makanan dan
ubat-ubatan.
Kedua, Israel sama
sekali gagal untuk mencapai misi mereka dalam peperangan kali ini untuk
menggugat Hamas khususnya sayap ketenteraannya Briged Al-Qassam. Sumber
Al-Qassam melaporkan jumlah anggota Al-Qassam yang terkorban syahid tidak
sampai pun 100 orang. Daripada hampir 2 ribu penduduk Gaza yang terkorban pula,
majoriti adalah di kalangan kanak-kanak, wanita dan orang awam. Tentera Israel
juga gagal untuk mengesan lokasi pelancaran roket-roket Hamas apatah lagi
memusnahkannya.
Ketiga, jumlah
kematian di kalangan tentera dan polis Israel jauh melebihi bilangan anggota
Al-Qassam yang terkorban. Menurut laporan terbaru, bilangan tentera Israel yang
terbunuh adalah seramai 497 orang, manakala polis Israel yang terbunuh pula seramai
113 orang. Seramai 879 orang tentera Israel dilaporkan cedera dan polis Israel
yang cedera pula seramai 362 orang.
Dengan teknologi ketenteraan yang lebih canggih dimiliki
Israel, jumlah kematian yang jauh lebih tinggi ini adalah satu tamparan hebat
buat mereka.
Keempat, keupayaan
teknologi ketenteraan dan kebijaksanan strategi peperangan Hamas kali ini jauh
di luar jangkaan tentera Israel sehingga menimbulkan kegerunan dahsyat kepada
mereka. Serangan roket Al-Qassam dilaporkan telah sampai ke wilayah Israel yang
sebelum ini tidak pernah berjaya dijangkau. Laporan Al-Qassam menyatakan mereka
telah berjaya melancarkan roket jenis R160 ke wilayah Haifa yang jaraknya
kira-kira 140 kilometer dari Gaza.
Antara strategi peperangan Al-Qassam yang menonjol kali ini
ialah taktik penyamaran sebagai tentera Israel, penggunaan rangkaian terowong
rahsia, perangkap samar, keupayaan untuk meletupkan kenderaan tentera musuh
dengan alat kawalan jauh dan penggunaan pasukan komando marin. Al-Qassam juga
telah berjaya mencipta sendiri senjata penembak tepat yang dinamakan “Ghoul”
yang mampu mencapai jarak sejauh 2 kilometer.
Kelima, peperangan
kali ini menyerlahkan kegagalan Iron Dome milik Israel yang selama ini didakwa
sebagai sistem pertahanan ketenteraan tercanggih di dunia. Pihak tentera Israel
sendiri mengakui dalam tempoh 24 jam tertentu sewaktu perang, Iron Dome mereka
hanya mampu mematahkan 8 daripada hampir 120 roket yang dilancarkan oleh
Al-Qassam. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama beberapa hari lepas terpaksa
meluluskan bantuan kecemasan berjumlah $225 juta untuk meningkatkan lagi
keupayaan Iron Dome.
Keenam, pihak Israel
terpaksa menanggung kerugian yang amat teruk dari segi ekonomi. Serangan roket
dari Gaza ke atas Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv menyebabkan
sebahagian besar operasinya tergendala. Ekonomi Israel hampir lumpuh apabila
pelbagai industrinya terjejas teruk termasuk industri pengilangan, penternakan,
penerbangan, perhotelan dan pelancongan. Itu belum dikira kos besar untuk
membiayai operasi ketenteraan mereka yang tidak memberikan pulangan sama
sekali.
Ketujuh, pihak Israel
juga terpaksa menelan kekalahan dari segi moral dan psikologi akibat peperangan
terbaru ini. Bukan rahsia lagi bahawa ramai tentera Israel selama ini mengalami
tekanan emosi, gangguan psikologi dan trauma akibat peperangan yang banyak
membawa kepada kes bunuh diri. Kegagalan untuk mengalahkan Hamas kali ini pasti
meningkatkan lagi tekanan terhadap mereka. Satu undian am di media Israel
menunjukkan sebanyak 87% rakyat Israel bersetuju bahawa misi ketenteraan Israel
ke atas Gaza ini adalah satu kegagalan.
Kelapan, keganasan
terbaru Zionis Israel ke atas penduduk Gaza ini telah berhasil meningkatkan
sokongan masyarakat global kepada Palestin. Demonstrasi demi demonstrasi,
begitu juga kempen memboikot syarikat-syarikat yang menyokong Israel
berlangsung di seluruh dunia untuk membantah tindakan tidak berperikemanusiaan
Israel. Ada juga di kalangan negara-negara yang mengambil tindakan seperti
mengecam Israel sebagai pengganas, menghalau duta Israel keluar, memutuskan
hubungan diplomatik dan membekukan aktiviti perdagangan dengan Israel.
Pelbagai sebab lagi boleh diutarakan untuk dijadikan hujah
kenapa Hamas tanpa sebarang keraguan lagi layak untuk dinobatkan sebagai
pemenang Perang Al-Asful Ma’kul ini. Semoga kekalahan memalukan buat Israel ini
dapat melenyapkan keangkuhan mereka dan sekutu-sekutunya walaupun mungkin cuma
untuk seketika ini.
Kita menyedari bahawa krisis di Gaza ini tidak akan selesai
sehinggalah Israel dilenyapkan terus daripada peta dunia dan tanah Palestin
diserahkan semula kepada pemiliknya yang berhak. Umat Islam di seluruh dunia
dituntut untuk terus memberikan bantuan dan sokongan kepada Palestin terutama
dalam usaha untuk memulihkan dan membangunkan semula Gaza ketika ini.
Mohd Firdaus bin Sabturani
Setiausaha Biro Media ISMA
Setiausaha Biro Media ISMA
No comments:
Post a Comment