GAZA 2

GAZA 2

gaza 3

gaza 3

gaza

gaza

gazajhj

gazajhj

Tuesday 15 July 2014

Situasi di Gaza 5 - 11 Julai 2014

Ulasan Mingguan Situasi di Gaza | 5 - 11 Julai 2014


Minggu ini menyaksikan mimpi buruk yang dibimbangkan selama ini menjadi realiti. Perang di Gaza tercetus lagi. Ini kali yang ketiga selepas Perang Furqan (Operation Cast Lead) 2008/2009 dan Perang Hijaratus Sijjil (Operation Pillars of Cloud) 2012.
Selepas penculikan dan pembunuhan remaja Palestin, Muhammad Abu Khdeir, 16 tahun, Rabu lalu (2/7) oleh kumpulan ektremis Yahudi, bantahan besar-besaran telah tercetus di Tebing Barat terutamanya di Kem Shu’fat, Baitul Makdis Timur; tempat tinggal Abu Khdeir. Sepupu mangsa, Tarek Abu Khdeir, 15 tahun telah dibelasah teruk tentera Israel ketika Israeli Occupying Force (IOF) cuba menyuraikan bantahan manakala lebih 170 pemuda Palestin ditahan. Bayangan Intifada 3 yang disebut-sebutkan selama ini kini menjelma.

Ketika fraksi-fraksi mujahidin Gaza yang lain sudah memulakan serangan roket ke arah Israel sejak 2 minggu yang lalu ketika Israel ghairah menjalankan Operation Brother’s Keeper bagi menjejaki 3 remaja Yahudi yang dilaporkan hilang, HAMAS, kumpulan mujahidin terbesar di Gaza masih menahan diri daripada sebarang serangan balas bagi mengelak korban besar ke atas rakyat Palestin.

Namun, serangan udara Israel pada hari Isnin (7/7) yang mengorbankan 9 orang rakyat Palestin (6 daripadanya pejuang HAMAS) telah memaksa HAMAS untuk melancarkan serangan balas. Akibatnya, Israel telah menggunakan serangan HAMAS ini sebagai alasan untuk melancarkan operasi terbarunya ke atas Gaza – Operation Protective Edge, pada awal pagi Selasa (8/7).

Dalam tempoh kurang 24 jam, Israel telah melancarkan 447 roket dan 374 peluru berpandu di lebih 160 sasaran di Gaza menyebabkan 23 kematian (6 orang daripadanya kanak-kanak), 122 kecederaan (26 orang daripadanya kanak-kanak) dan lebih 115 bangunan musnah (112 rumah, 1 hospital dan 2 masjid).

HAMAS telah memberi tentangan yang hebat. Bersama-sama kumpulan mujahidin Palestin yang lain, Briged al-Qassam telah melancarkan ratusan roket ke arah Israel dan menjalankan dua operasi khas yang mengejutkan tentera Israel. Pertama, HAMAS telah berjaya menyeludup masuk ke kem tentera Israel di Ashkelon melalui jalan laut dan membunuh 7 orang tentera Israel. Kedua, HAMAS telah menjalankan ‘Operasi 10 Ramadhan’ dengan melancarkan roket-roketnya ke Jerusalem, Tel Aviv dan Haifa hingga menyebabkan bandar-bandar utama di Israel ini bingit dengan bunyi siren amaran serangan roket. Ini adalah kejayaan terbaru HAMAS melancarkan roket ciptaan sendiri sejauh 160 km!

Penganalisis tentera menyifatkan bahawa serangan-serangan HAMAS ini bermatlamat mengajak dan memaksa Israel bertempur melalui darat. HAMAS percaya mereka akan mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang sekiranya pertempuran darat tercetus. Serangan darat akan memungkinkan HAMAS berjaya memusnahkan lebih banyak kelengkapan tentera Israel, menawan tentera mereka seterusnya memaksa Israel mematuhi syarat-syarat gencatan senjata sebelum ini (2012) – menghentikan semua bentuk serangan ke atas Gaza, menghentikan sekatan ekonomi dan membenarkan bantuan kemanusiaan untuk masuk ke Gaza.

Dalam perang kali ini, Israel dilihat tidak mempunyai objektif yang jelas selain menghancurkan HAMAS. HAMAS pula telah mengumumkan syarat-syarat gencatan senjata seawal hari kedua pertempuran (Rabu, 9/7). Selain menuntut Israel mematuhi syarat gencatan senjata 2012, HAMAS turut menggesa Israel untuk tidak mengganggu dan mensabotaj Kerajaan Perpaduan Palestin dan membebaskan rakyat Palestin yang telah ditahan semula selepas dibebaskan dalam pertukaran tahanan (Gilat Shalit) pada 2011.

Sehingga hari ini, Turki merupakan antara negara yang kuat mengecam serangan terbaru Israel ke atas Gaza. Perdana menterinya, Recep Tayyip Erdogan menegaskan bahawa Turki tidak akan menyambung semula hubungan diplomatiknya dengan Israel sekiranya rejim itu tidak menghentikan segera serangannya. Hubungan Turki-Israel terencat selepas peristiwa Mavi Marmara pada tahun 2010 yang menyaksikan 9 warganegara Turki terkorban ketika flotilla menghantar bantuan ke Gaza diserbu oleh komando Israel.

Semalam, Ban Ki Moon, Setiausaha Agung PBB merayu kepada semua pihak untuk menggesa Israel dan Palestin menghentikan serangan. Riyad Mansour, duta Palestin ke PBB ketika menjelaskan konflik sedia ada menyebutkan bahawa Israel tidak berniat langsung untuk menghentikan serangan mereka. Gencatan senjata tiada langsung dalam agenda di Knesset Israel pada hari itu. Beliau menegaskan bahawa rakyat Palestin akan terus bertahan dan menolak sebarang usaha untuk mensabotaj Kerajaan Perpaduan yang sedang mereka bina.

Sehingga pagi tadi, perang terbaru ini telah menelan 90 nyawa dan mencederakan lebih 550 rakyat Palestin.

SUMBER: AQSA SYARIF


No comments: