Thursday, 21 May 2015
Friday, 15 May 2015
Di manakah mereka ?
Palestin asalnya adalah sebuah negara yang berdaulat sebelum tertubuhnya negara haram Israel pada 15hb Mei 1948.
Kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan penduduk Palestin terpaksa berhijrah membawa diri daripada tanah tumpah darah mereka sejak tarikh tersebut yang dikenali sebagai an-Nakbah (malapetaka hitam).
Kini Palestin kekal sebagai negara yang mempunyai jumlah pelarian yang paling ramai dan yang paling lama dalam sejarah dunia moden.
Daripada 12, 100 000 orang rakyat Palestin, hanya 5.6 juta orang yang menetap di Palestin iaitu di Gaza, Tebing Barat dan Palestin-1948 (kini dikenali dunia sebagai Israel).
Selebihnya, 6.5 juta orang terpaksa menetap di negara-negara dunia antarabangsa yang lainnya.
Ini adalah sebahagian daripada bukti kesan agenda zionis antarabangsa bagi menguasai Palestin dalam rangka pembinaan negara Israel Raya atau 'the Greater State of Israel', Jerusalem sebagai ibu negaranya dan pembinaan 'the Solomon Temple' di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.
Tidak habis di situ, mereka bekerja siang dan malam berkeringat untuk menjayakan agenda mereka di dunia antarabangsa di mana jua.
Ya, umat sejagat mesti mengenali mereka, memahami agenda yang disusun serta bersepakat bagi mendepani strategi mereka di sana sini.
Thursday, 26 March 2015
Wednesday, 25 March 2015
Tuesday, 24 March 2015
Monday, 23 March 2015
Menifesto tidak pernah berubah sejak 1948 iaitu 'Tiada Palestin selamanya"
Netanyahu menang dengan Parti Likud memboloti 36 kerusi berbanding lawan terdekatnya Zionist Union dgn 24 kerusi.
Kempen Netantahu hanya dia janji tidak akan wujud negara Palestin.
Inilah kempen yg konsisten sejak dari Chaim Weizman dan David Ben Gurion hingga Golda Meir dan semua pemimpin zionis Israel hingga hari ini. Bahasa kempen nya hanya satu nada 'Tidak ada Israel tanpa Jerusalem dan tidak ada Jerusalem tanpa Heikal."
Ia adalah manifesto Pilihanraya parti politik zionis samada Likud atau Labor atau Zionist Union atau apa sahaja. Golda Meir dengan biadap selamba berkata 'Palestin tidak wujud'. Jadi Netanyahu hanya meneruskan wasiat Ben Gurion, Golda Meir, Menachem Begin, Yitzhak Shamir, Ariel Sharon, dan sesiapa shj. tak kira samada netanyahu, avigdor lieberman atau Tzipi Livni semuanya akan menggunakan manifesto yg sama. ibarat pengundi hendak cokodok pisang atau cokodok labu. tak lebih dari itu. hanya rasanya mungkin sedikit berbeza tetapi hakikatnya sama.
dan Israel hanya memilih tiada Palestin di dalam kertas undinya.
Dr.Hafidzi Mohd Noor,
Pengerusi
MERUNGKAI PERBEZAAN DIANTARA ISIS & HAMAS
Artikel | ISIS juga mujahiddin seperti HAMAS?
Terdapat segelintir penyokong ISIS cuba menggambarkan
kumpulan ISIS adalah mujahidin Islam seperti HAMAS dan sayap tenteranya
Izzuddin al Qassam. Umumnya HAMAS memang diterima dikalangan majoriti umat
Islam sebagai pejuang pembebasan yang benar menentang kezaliman Zionis Israel
untuk membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin. Sejak dikenali dengan bermulanya
Intifadah Palestin hampir 30 tahun yang lalu, HAMAS telah membuktikan keteguhan
pendirian dan prinsip Islam mereka dalam perjuangan. 2 intifadah ( 1987 dan
2000 ) dan 3 perang yang dipaksakan oleh Israel ( 2008, 2012 dan 2014 ) menjadi
bukti HAMAS sebagai gerakan rakyat yang mempertahankan hak Palestin pada masa
yang sama teguh menuntut pembebasan Masjidil Aqsa bagi pihak umat Islam
sedunia. Bahkan hari ini dikalangan bukan Islam juga telah mula menerima HAMAS
sebagai perjuangan rakyat Palestin dan bukannya kumpulan pengganas yang cuba
digambarkan oleh media Barat dan Israel. Negara Barat juga mula mengakui isu
Palestin tidak mungkin diselesaikan tanpa penglibatan HAMAS.
Kedudukan HAMAS yang mula diterima umat Islam sebagai
`kayu ukur’ perjuangan Islam menyebabkan segelintir penyokong ISIS cuba
menyandarkan kumpulan mereka kepada HAMAS sedangkan keduanya mempunyai jurang
perbezaan yang sangat jauh. Titik permulaan dan sejarah perjuangan mereka juga
amat berbeza. Walaupun HAMAS hanya dikenali sekitar pertengahan 80an, pembentukan
kader-kader HAMAS melalui manhaj tarbiyyah (sistem pendidikan) Ikhwanul
Muslimin telah bermula secara teratur sejak awal 1970an. Ketika itu Israel
menduduki didalam Gaza dan HAMAS menumpukan kepada pembentukan
peribadi-peribadi dan kelompok-kelompok Muslim yang berpegang teguh dengan
Islam pada aqidah, ibadah dan akhlak Islam. Fasa kedua bermula dengan Intifadah
Pertama pada 1987 dimana rakyat Palestin mula bangkit menyatakan penentangan
mereka kepada penjajahan Israel didalam Gaza secara aman – memboikot
pentadbiran Israel, tidak membayar cukai, berhenti bekerja dengan majikan
Israel, graffiti slogan anti-Israel, menyekat laluan tentera Israel dengan
membakar tayar serta membaling batu kepada tentera Israel. Intifadah pertama
dan kedua berlaku sehingga Israel tidak dapat lagi bertahan dan membuat
keputusan untuk keluar dari Gaza pada 2005.
Pilihanraya demokratik Palestin yang pertama pada 2006
dibawah pengawasan Kesatuan Eropah memberi kemenangan kepada HAMAS di Gaza.
Melihat kebangkitan HAMAS sebagai satu ancaman kepada Israel, 3 perang
besar-besaran dilancarkan keatas Gaza pada 2008, 2012 dan 2014. Dalam setiap
serangan tersebut HAMAS membuktikan mereka mampu mempertahankan Gaza dan
memaksa Israel menghentikan serangan. Keteguhan mereka berhadapan dengan
tentera Zionis Israel yang diketahui antara yang termoden didunia dan disokong
oleh kuasa besar Amerika Syarikat menjadi lagenda perjuangan Islam menentang
kezaliman.
Sejarah yang panjang kebangkitan HAMAS bersama rakyat
Palestin menjadi bukti kebenaran dan keteguhan mereka dalam perjuangan. HAMAS
tidak datang dengan slogan dan syiar yang menarik seperti jihad, negara Islam,
Khilafah Islam atau sepertinya tetapi HAMAS membuktikan dengan darah dan nyawa
bahawa merekalah yang berada digarisan hadapan mempertahankan bumi dan rakyat
Palestin sambil berpegang teguh dengan ajaran alQuran dan akhlak Islam.
Tidak seperti ISIS yang menempa ‘kemasyhuran’ dengan
pembunuhan secara kejam terhadap sesiapa sahaja yang menentang mereka samada
golongan Islam atau tidak, samada Sunni mahupun Syiah – HAMAS melalui sayap
tenteranya Izzudin al Qassam sangat menjaga akhlak dan tertib dalam berperang
walaupun terhadap musuh. Senjata mereka jelas ditujukan kepada Zionis Israel
sahaja dan mereka bekerjasama dengan kumpulan mujahidin Palestin yang lain –
tidak seperti ISIS yang menjadikan kumpulan mujahidin Syria dan Iraq yang tidak
bersetuju dengan mereka sebagai musuh yang mesti diperangi dan dibunuh.
Peristiwa pembunuhan kejam ISIS terhadap juruterbang Jordan Muath Al-Kassasbeh
yang dibakar hidup-hidup dan dipertayangkan kepada dunia tanpa rasa ihsan dan
kemanusiaan meletakkan HAMAS dan ISIS ibarat langit dan bumi. Sedangkan tentera
Israel Gilad Shalit yang ditawan oleh HAMAS selama 5 tahun dikembalikan kepada
Israel tanpa diapa-apakan sebagai ganti pembebasan lebih 1000 tahanan Palestin.
Abu Mujahed, jurucakap Izzudin al Qassam menegaskan bahawa Shalit “ ….. tidak
diapa-apakan sama sekali. Beliau dilayan dengan akhlak yang diajarkan oleh
Islam dalam menjaga tahanan perang.”
KEANGGOTAAN DI KALANGAN PEJUANG ASING
Satu lagi perbezaan yang jelas diantara tentera HAMAS dan
ISIS adalah berhubung keanggotaan di kalangan pejuang asing. ISIS begitu
berbangga dengan kejayaannya menarik ratusan jika tidak ribuan pencinta jihad
dari seluruh dunia menyertainya. Pintu keanggotaan dibuka luas kepada siapa
saja yang ingin `berjihad’ tanpa mengira bangsa, negara asal, latar belakang
ataupun persediaan diri. Berbeza dengan tentera HAMAS yang walaupun telah
hampir 20 tahun berperang melawan Israel, tidak kedengaran atau hampir tiada
rekrut diambil dari luar Palestin. Tentunya jika HAMAS membuka pintu
keanggotaan kepada semua pencinta jihad, ribuan akan menyambutnya dalam sekelip
mata kerana perjuangan melawan Zionis amat jelas siapa yang benar siapa yang
bathil. Syahidnya tidak diragukan. Tetapi itu tidak berlaku. Yang kita dengar
ialah syarat-syarat yang sangat ketat jika ingin menyertai mereka. Disamping
syarat-syarat kemampuan fizikal; syarat-syarat berhubung amalan Islam seperti
tidak meninggalkan solat berjamaah, sentiasa berpuasa sunat dan hafazan al
Quran menjadi keutamaan. Mereka bukan mencari bilangan yang ramai tetapi
mujahid yang berkualiti. Syarat-syarat yang ketat ini juga membantu menjaga
kesejahteraan HAMAS dari anasir luar yang mungkin merosakkannya. Sedangkan
apabila ISIS membuka luar pintunya kepada sesiapa saja, maka yang menyertai
ISIS datang dari pelbagai latar belakang dan dengan pelbagai sebab. Mungkin ada
yang ikhlas tetapi `naif’ datang mencari laluan mudah syahid ke syurga, tidak
kurang juga yang datang untuk membalas dendam atas kekejaman Assad, Nouri atau
Syiah keatas keluarga mereka, atau pengikut Ba’athis Saddam yang cuba mencari
peluang berkuasa semula. Juga tidak dapat ditolak adanya agen-agen provokatier
yang sengaja ingin merosakkan imej Islam melalui ISIS samada dari kalangan
Syiah, Israel atau agen-agen perisikan barat.
Menurut pendedahan ekslusif Al Arabiya News Channel pada
14 Februari 2014, sekurang-kurangnya 2 orang pemimpin tertinggi ISIS selepas
Abu Bakar al Baghdadi adalah bekas tentera di zaman Saddam Hussein. Tentera
Saddam terkenal dengan pegangan Ba’ath mereka, memusuhi Islam dan menzalimi
rakyat Iraq sendiri samada Sunni mahupun Syiah. Adnan Latif Hamid al-Sweidawi
(@ Abu Ayman al Iraqi) yang dipercayai mengetuai Majlis Tentera ISIS adalah
adalah bekas kolonel Tentera Iraq dan pegawai perisikan Tentera Udara Iraq.
Waleed Jassem al Alwani (@ Abu Ahmad Al Awani) juga bekas komander tentera Iraq
dibawah Saddam Hussien dan dipercayai menjadi ahli Majlis Tentera ISIS.
Beliau
dilaporkan telah terbunuh dalam serangan udara terhadap ISIS pada penghujung
2014. Al Arabiya News Channel pada 19 Disember 2014 pula melaporkan seorang
lagi pemimpin tertinggi ISIS yang dipercayai sebagai orang ke 2 ISIS di Iraq,
Abu Muslim al Turkmani juga adalah bekas leftenan kolonel di era Saddam.
Kehadiran bekas tentera Saddam memimpin ISIS memberi
pencerahan tentang kemampuan strategi ketenteraan ISIS yang membawa kejayaan
demi kejayaan pada peringkat awal. Namun kehadiran mereka menimbulkan seribu
keraguan tentang matlamat ISIS untuk memperjuangkan Islam apa lagi menubuhkan
negara Islam yang benar.
Tidak kurang juga laporan daripada kumpulan mujahidin di
Syria bahawa beberapa pemimpin ISIS di Syria adalah bekas pegawai tentera dan
perisikan Bashar Assad. Mereka dipercayai bekerjasama dan memberi maklumat
kepada tentera Assad untuk menyerang mujahidin Syria.
Ini menjadikan ISIS kumpulan yang bercampur-aduk
kepentingannya, matlamat dan tujuan ahlinya, kesatuan kefahaman dan pegangan
agamanya. Kecelaruan ini jauh sekali dari menjadikan ISIS sebagai gerakan
mujahidin Islam bahkan tindakan kejam dan tanpa akhlak Islam mereka lebih mirip
kepada kumpulan pengganas dan gengster dengan matlamat dan kepentingan pribadi
dan kumpulan.
Nasim Ahmad dalam artikelnya di Middle East Monitor pada 14 September 2014
menyimpulkan “Asal dan tapak mereka (ISIS dan HAMAS) adalah berbeza. Taktik
mereka tidak dapat disamakan dan masa depan mereka tidak mungkin bertemu.”(1)
Percubaan untuk menyamakan ISIS dengan HAMAS juga ditolak
oleh kenyataan dan tindakan ISIS sendiri. ISIS tidak mengiktiraf HAMAS sebagai
pejuang Islam yang benar bahkan sebahagiannya mengkafirkan HAMAS hanya kerana
HAMAS menyertai pilihanraya Palestin yang dianggap oleh ISIS sebagai
memperjuangkan ideologi demokrasi.
Fahaman dibawa oleh ISIS tidak menjadikan isu pembebasan
Palestin sebagai keutamaan. Bapa asal ISIS, al Qaeda juga tidak menjadikan ini
keutamaan. Hampir tiada pendirian yang mereka nyatakan terhadap pembebasan
Baitul Madqis atau kekejaman Israel. Mereka lebih mengutamakan `pembersihan’
negara Islam dari pemerintahan yang tidak Islamik, membersihkan rakyat negara
Islam dari golongan yang mereka anggap munafik dan murtad dan juga golongan
Syiah. Mereka membawa sandaran Khalifah Abu Bakar as Siddiq mendahulukan
penghapusan golongan murtad dan mengembangkan negara Islam dan Salahuddin Al
Ayubi menumbangkan kerajaan Syiah sebelum menakluki Baitul Maqdis. Bagi mereka
jihad hanya boleh dilaksanakan dibawah panji-panji dan pimpinan yang satu iaitu
Khilafah Islam yang mereka istiharkan. Perjuangan HAMAS untuk membebaskan
Palestin dan menubuhkan negara Palestin yang berdaulat dianggap bertentangan
dengan konsep khilafah Islam mereka dimana tiada batasan negara antara umat
Islam melainkan semuanya hendaklah berada dibawah khilafah yang satu.
Pada tahun 2009, sekumpulan penduduk Gaza yang membawa
fahaman ini dibawah nama Jund Ansarullah (Tentera Penolong Allah) pimpinan
Abdul Latif Moussa @ Abu an Noor al Maqdasi telah mengistiharkan penubuhan
“Emirat Islam di Baitul Maqdis” (Al Emirate Al Islamiyah fi Aknaf Baeytul
Maqdas). Mereka juga menyamakan kerajaan HAMAS dengan Israel sebagai kerajaan
sekular. Untuk mengelakkan fahaman melampau ini berkembang, polis HAMAS telah
mengepung markas mereka di Masjid Ibn Taimiyah di Rafah dan meminta mereka
menyerah. Wakil HAMAS yang dihantar untuk berunding, Muhammad Jibril al Shemali
telah dibunuh. Pertempuran selepasnya menyebabkan keseluruhan anggota Jund
Ansarullah terbunuh. Peristiwa ini menjadi titik hitam hubungan HAMAS dengan
golongan pelampau seperti ini.
Wallahu’alam.
Ar. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
FELO
Palestine Centre of Excellence
Artikel asal: http://on.fb.me/1EOWA81
Friday, 20 March 2015
Tuesday, 17 March 2015
Subscribe to:
Posts (Atom)